"Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah)" Al-Baqarah. ayat 214.
Alhamdulillah..alhamdulillah..alhamdulillah....segala puji bagi Allah yang Maha Berkuasa, Maha Mengasihi lagi Maha Mengetahui. Mengenangkan perjalanan hidup yang dilalui membuatkan hati rasa terharu dan sebak. Terbayang-bayang saat-saat sukar yang dilalui....terngiang-ngiang kata-kata yang merosakkan motivasi diri dan tergambar kepayahan menempuh dugaan di kala itu. Betapa diri di waktu itu...begitu lemah dan kerdil. Luaran mungkin kelihatan tabah namun hati yang rapuh di dalam tiada siapa yang tahu. Rasa putus asa dan rasa kecewa pernah menghimpit diri tetapi sokongan dan dorongan keluarga dan kawan-kawan rapat sedikit sebanyak menambahkan semangat diri untuk lebih berusaha memperbaiki kehidupan dan mengajar diri untuk lebih bersabar dan menerima ketentuan Ilahi dengan redha. Walaupun berat beban yang dipikul tetapi hati percaya dan yakin bahawa sesungguhnya Allah tidak akan membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Pertolongan Allah itu pasti akan datang bila tiba masanya.
Alhamdulillah.. janji Allah itu adalah benar. Rezeki untuk meningkatkan ekonomi hadir di hujung tahun 2012. Dan tanpa diduga.. di awal tahun 2013, sekali lagi Allah membuktikan kekuasaannya dengan menghadirkan seorang lelaki yang baik bergelar 'suami'. Dan dengan izin Allah..tanpa menunggu masa yang lama, Allah kurniakan kami permata hati untuk mengukuhkan lagi ikatan suami isteri.
Penantian dan kesabaran selama ini terbalas. DIA hadirkan rezeki kerja yang baik, suami yang penyayang dan anak yang cerdik...satu demi satu hadir dalam selang masa yang dekat. Allahuakbar....masih tergambar suatu masa dahulu..betapa banyak airmata yang keluar, betapa banyak mimpi-mimpi yang dianyam, dan betapa banyak persoalan 'bila..bila..bila' bermain di minda...dan hari ini Allah telah menjawab segala-galanya. Penantian dan kesabaran selama ini terbalas. Syukur alhamdulillah atas segala nikmat yang diberikan. Hati kian menyakini bahawa pertolongan Allah itu ternyata dekat asalkan kita bersabar. Dan hari ini..sang pemimpi tidak lagi bermimpi;-)
“Maka Nikmat Tuhanmu Yang Manakah Yang Kamu Dustakan?”
[Surah Ar-Rahman : 13]
No comments:
Post a Comment